Lapan terbunuh, berpuluh lagi dikhuatiri terperangkap susulan gempa di Filipina

Luar Negara Tragedi
Kongsi Artikel Ini

MANILA: Sekurang-kurang lapan terbunuh dalam gempa bumi 6.1 magnitud yang menggegarkan pulau Luzon di Filipina semalam manakala berpuluh lagi dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan sebuah bangunan komersil, kata pihak berkuasa.

Gegaran yang dikesan 60 kilometer (km) di barat laut ibu kota Manila itu menjejaskan pengangkutan udara, kereta api dan jalan raya selain merosakkan bangunan dan infrastruktur.

 

Difahamkan, daerah Pampanga paling teruk terjejas dengan lapan terbunuh dan kira-kira 20 lagi cedera, kata gabenor wilayah Lilia Pineda, memetik maklumat pegawai bencana.

Penyelamat menggunakan jentera berat dan anjing pengesan untuk mencari mangsa yang terperangkap selepas sebuah bangunan empat tingkat runtuh, meranapkan pasar raya yang terletak di tingkat bawah, katanya.

Terdahulu, Pusat Kajian Geologi Austria dan pihak berkuasa seismologi Filipina berkata gempa bumi itu dicatat pada 6.3 magnitud. Ia kemudian disahkan berkekuatan 6.1 magnitud.

Lapangan terbang antarabangsa Pampanga di Clark yang juga bekas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) ditutup dan sejumlah penerbangan dibatalkan susulan kerosakan yang dialami beberapa kemudahan termasuk bahagian daftar masuk.

Jalan raya turut mengalami rekahan teruk selain tiang elektrik yang tumbang.

Kerajaan turut menggesa orang ramai untuk bertenang dan berhati-hati dengan khabar angin mengenai angka korban dan kemusnahan besar yang semakin tular di media sosial.

“Kami menggesa mereka untuk berhenti menyebarkan maklumat yang salah di media sosial yang boleh mencetus panik dan tekanan yang tidak sewajarnya,” kata jurucakap presiden, Salvador Panelo.

Filipina yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, cenderung mengalami bencana alam berbentuk aktiviti seismik.

Ia secara purata turut mengalami taufan sebanyak 20 kali setahun yang membawa hujan lebat dan mengakibatkan tanah runtuh. – Reuters

Kongsi Artikel Ini