Padah melontar barang ke dalam rumah jiran, sepasang suami isteri yang tinggal di Flat Padang Tembak, Air Itam di sini, cedera parah akibat ditikam dalam pergaduhan pada Ahad.
Dalam kejadian jam 1 pagi, pasangan yang berusia 40 dan 41 tahun itu ditikam dengan sebilah pisau di bahagian dada, perut dan siku kanan oleh jiran mereka yang berang dengan tindakan pasangan berkenaan.
Suspek yang berusia 45 tahun pula patah hidung, bengkak di mulut dan pipi serta luka di bahagian jari.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila suspek memarahi suami isteri yang tinggal di tingkat enam flat berkenaan kerana dikatakan melontar barang masuk ke rumahnya di tingkat lima.